Wednesday, January 12, 2011

Aplikasi Qaidah Fiqh dalam Kehidupan Masa Kini - (4/4)

JANJI ALLAH ITU BENAR

Pengalaman seorang sahabat yang pernah melalui ujian sebegini membuktikan kebenaran janji Allah, bahawa apabila seorang hamba itu benar bertaqwa dan tawakal, akan datang pertolongan Allah kepadanya.

Beliau asalnya seorang remaja yang bijak tapi amat lalai dalam hidupnya, sentiasa fikir untuk berseronok hingga mengabaikan perintah-perintah agama. Apabila mendapat hidayah dan kesedaran iman, terus ditinggalkan dunia persekolahannya walaupun mendapat tawaran memasuki universiti.

Didorong rasa berdosa dan ingin bertaubat, beliau mengambil keputusan berkhalwah selama beberapa tahun di sebuah masjid bagi menqada’ ibadah yang ditinggalkan, mendalami ilmu dan membersihkan diri. Ketika itu ayah, keluarga dan sahabat handai semua datang kepadanya memberi nasihat agar dia memikirkan masa depannya juga., perlu ada pelajaran tinggi untuk mendapat kerja yang baik bagi menjamin masa depan, dan tentu akan berkahwin. 

Dia tiada menjawab segala percakapan mereka, malah rasa terganggu dalam khalwahnya itu. Dia hanya yakin pada Allah, baginya jika dia benar mencapai cinta Allah dan Rasul, hidupnya akan lebih terjamin dan bahagia lebih daripada orang lain. Dia yakin Allah tiada akan menzalimi hambaNya yang ingin menyucikan diri kepadanya. Dalam tanganNya segala kekuasaan dan yang lain adalah bayangan sahaja.

Kenapa dia perlu diajar bergantung pada bayang bukannya kepada Tuan bayang-bayang. Dia katakan pada dirinya, "Jika ada dalam hatiku pergantungan yang lain dari Allah, maka aku adalah sejahat-jahat hamba di hadapan Allah, aku akan hentikan segala ibadah kerana ia adalah kepuraan sahaja di mata manusia yang tiada nilai disisi Allah."

Apabila ibunya datang menangis-nangis merayu agar ia pulang ke rumah dan kembali ke sekolah, bagaikan datang sesuatu kekuatan dalam dirinya untuk berkata : “Masa depan saya di tangan Allah dan kepadaNya ibu serahkan saya, sesungguhnya Allah tiada akan membiarkan kesempitan dan kesengsaraan pada hamba yang berbaik sangka, yakin dan beribadah padaNya.” 

Akhirnya ibu menerima hujahnya dan dia hanya memohon doa dan restu ibunya untuk menyerahkannya pada Allah. Ibu Nabi Musa a.s sendiri pernah menerima perintah Allah agar diletakkan anaknya di dalam bakul dan dihanyutkan ke sungai Nil, maka si ibu serahkan anaknya kepada Allah dengan keyakinan Allah akan menjaganya.

Dengan rahmat Allah, kini dia menjadi anak yang boleh dibanggakan ibu bapanya, anak yang dapat menjaga mereka ketika mereka uzur, anak yang  diharapkan doanya. Malah dialah yang sentiasa berada di sisi ibu bapanya apabila mereka sakit, tiada mahu meninggal dunia si ibu dan ayah melainkan mahukan ia ada di sisi mereka. 

Saat ibunya sakit satu ketika dahulu, anak-anak yang lain tidak dapat menjaganya dengan sepenuhnya dek kesibukan kerja dan jawatan mereka. Namun dialah yang tetap setia menemani ibu selama 2 tahun, sama ada di rumah, hospital atau kadang-kadang membawanya untuk berubat di mana-mana tempat. Sedang satu waktu dulu dia dipandang rendah, dianggap gelap masa depan, tiada siapa yang mahu kahwin dengannya dan pelbagai celaan lagi dihamburkan.

Dengan keimanan dan keyakinan yang tinggi pada Allah, kesabaran dan ketabahan mengharungi ujian beberapa lama, akhirnya Allah membenarkan janjinya. DiberiNya pelbagai kemudahan kepadanya. Dimurahkan rezekinya untuk keperluan harian dan menyara keluargan, bahkan ramai pula yang sedia berkhidmat dalam menjaga urusan keluarganya. DiberiNya kemudahan untuk membina rumah dan madrasah dengan bilangan pelajar yang ramai. Dan kini mempunyai 5 kenderaan termasuk van untuk kegunaan madrasah dan peribadi.

Kalau secara logik, dengan yuran yang amat minimum, tiadalah mampu menanggung semua kos makan, minum dan keperluan pelajar. Tapi alhamdulillah, rezeki mencurah-curah dan sentiasa ada jalan keluar setiap permasalahan yang timbul. Bahkan binaan madrasah makin besar bagi menampung permintaan ramai ibu bapa yang mahu menghantar anak-anak mereka ke situ.

Inilah kekuasaan dan jaminan rezeki Allah kepada hambaNya yang ramai manusia ragu dengannya kerana virus muktazilah dan qadariah telah meresap dalam minda dan jiwa mereka. Mereka meletakkan hukum akal (muktazilah) dan hukum kuasa diri (qadariah) melebihi hukum Ketuhanan. Semoga Allah bebaskan diri kita, masyarakat dan ummah seluruhnya dari syirik dan akidah-akidah yang batil serta kembali kepada akidah yang haq (Ahli Sunnah wal Jamaah).

Kisah sahabat ini dipaparkan sebagai teladan buat kita. Allah memberi pelbagai kemudahan kepadanya dalam apa jua urusan kehidupan dunia bukan kerana dia alim atau banyak ibadah, tetapi sebagai hadiah kerana dia sentiasa yakin dan berbaik sangka pada Allah. Ianya satu jawaban pada mereka yang bergantung masa depan anak pada sekeping sijil dan berbimbang-bimbang dengan jaminan Allah. Allah tiada akan menzalimi hambaNya dan membiarkan kita berseorangan dalam kehidupan jika kita benar yakin dan tawakal padaNya. 

Firman Allah :

وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجۡعَل لَّهُ ۥ مَخۡرَجً۬ا (٢) وَيَرۡزُقۡهُ مِنۡ حَيۡثُ لَا يَحۡتَسِبُۚ وَمَن يَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسۡبُهُ ۥۤۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَـٰلِغُ أَمۡرِهِۦۚ قَدۡ جَعَلَ ٱللَّهُ لِكُلِّشَىۡءٍ۬ قَدۡرً۬ا‌‌‌

“Dan barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).”
(at-Thalaq: 1-2)

FAHAMI QAIDAH FIQH DAN APLIKASI DENGAN SEBAIKNYA

Kita jangan terlalu terikut dengan budaya Barat sehingga mahu menyamakan taraf lelaki dan perempuan. Hukum bagi wanita dengan lelaki dalam menuntut ilmu dan pekerjaan tetap berbeza dengan mengambil kira situasi seseorang, suasana dan bentuk pekerjaan tersebut. Seperti hukum kahwin yang mana ada mereka yang haram kahwin, ada yang wajib, ada yang sunat dan ada yang makruh berdasarkan illat yang ada. Namun bila illat sudah tiada, maka hukum akan berubah pula. 

Begitu juga dalam hal yang lain. Wanita lebih sesuai dengan kerjaya sebagai pendidik, doktor untuk perempuan, perniagaan, kaunseling atau lainnya yang menepati fitrah wanita dan keperluan semasa kehidupan. Namun dalam masa yang sama juga perlu menilai suasana tempat kerja, walau kerja tersebut halal sekalipun. Contohnya seperti guru perempuan yang muda dan cantik, mengajar di sekolah lelaki dewasa yang liar atau dihantar ke kawasan yang tiada menjamin keselamatannya, maka hukumnya berubah jika membawa mudharat

Hukum ibadah tiada berubah, tetapi hukum kehidupan semasa sentiasa berubah mengikut perubahan dunia. Justeru perlu sentiasa meneliti dan membuat kajian agar tidak terjerumus dalam dosa haram dan syubhat. 

Dalam sesuatu perkara itu, hukum tiada sama antara seorang pemimpin dengan orang bawahan, antara guru dengan murid, antara ulama dan orang awam, antara dewasa dan kanak-kanak, antara lelaki dan perempuan, antara baligh dan tiada baligh, antara orang pemikiran matang dan tiada matang, antara kemahuan dan keperluan, antara kaya dan miskin, antara sihat dan uzur, antara musafir dan orang bermukim dan lain-lain lagi. Kita jangan terlalu jumud tetapi dalam masa yang sama jangan terlalu liberal dalam hal hukum.

Qaidah fiqh yang menyatakan :

لاَ يُنْكَرُ تَغَيُّرُ الأحْكاَمِ بِتَغَيُّرِ الأزْمَانِ

“Tidak boleh disangkal berlaku perubahan hukum dengan sebab perubahan masa”

adalah hukum yang dihasilkan dengan ijtihad. Kalimah al-ahkam dalam kaedah ini masih tidak jelas maksud  yang dikehendaki, maka ulama fiqh telah memperluaskan lagi makna kaedah tersebut supaya lebih tepat iaitu “berubahnya hukum didasarkan maslahah dan ‘uruf kerana berubahnya waktu tidak diingkari”.  Maka maslahah, ‘uruf tiada sama antara seorang dengan seorang lain, justeru hukum fiqh antara seorang dengan seorang lain juga berbeza, kecuali ia mahu diseragamkan menjadi fatwa jamaah mereka dalam bab tertentu.

Apa yang penting, kita membicarakan tentang hukum bukan untuk menghukum orang lain, tetapi untuk menghukum diri sendiri. Jauhilah perbuatan menghukum orang lain kerana hukum antara kita dengan sahabat kita tidak sama, haram pada kita tetapi mungkin tidak pada mereka. Ia perlu dilihat secara keseluruhan. Berbaik sangka adalah sebaik-baik pakaian. 

Ramai yang mahu menjadi malaikat dengan menguatkan hukum pada diri mereka, tetapi akhirnya menjadi syaitan dengan sibuk menghukum orang lain apabila merasa diri mereka amat baik dan mulia di sisi Allah.

Akhir kalam, kita bukan sahaja perlu meneliti nafsu, perlu sentiasa muraqabah dan musyahadah dalam menghancurkan muktazilah, qadariah dan syirik-syirik yang lain, tetapi juga perlu meneliti segala tindakan kita dalam kehidupan; adakah berada dalam  haram, syubhat, makruh harus, sunat dan wajib. 

Kita wajib memahami hukum dan memahami kaedah fiqh dengan baik agar kehidupan tidak menjadi terlalu sukar sehingga tiada boleh bersama dengan arus kemajuan, tetapi tidak pula terlalu mudah sehingga tiada sedar berada dalam dosa yang besar. Mereka yang warak meninggalkan khilaf,  syubhah, berpegang pada hukum 'azhimah dan tiada mudah mengambil rukhsah setiap masa kecuali tiada jalan lain lagi untuk dilakukan. Jauhi ijtihad untuk kesenangan nafsu tetapi berijtihadlah atas dasar memudahkan urusan kehidupan, dakwah dan tarbiyyah demi mencapai kecintaan Allah dan Rasul. 

WaLlahu ‘alam.
__________________
  • Illat ialah sesuatu yang kerananya disyariatkan hukum.
  • 'Azhimah ialah hukum hakam syara' yang disyariatkan secara umum pada permulaaan.
  • Rukhsah ialah hukum hakam yang disyariatkan sebagai kelonggaran disebabkan wujudnya keuzuran tertentu.

1 comment:

  1. Alhamdulillah, terima kasih akhi di atas catatan di blog Kuliah Ad-Deen & di Halaqah Ad-Din ini. InsyaAllah suatu hari nanti kita diketemukan oleh Allah SWT. Lama sangat tak jumpa habib, akhi, abi dan lain² sahabat.

    ReplyDelete